Khamis, 17 Mac 2011

Salah Tafsir

Kehidupan kita bersumber dari hati...qalbu. Hati pembuat keputusan. Lihatlah apa saja tindakan dan perlakuan kita berasal dari hati. Hati adalah pemerintah atau raja. Segala anggota adalah tentera dan rakyatnya. Saya meyakini semua orang bersetuju dengan kenyataan itu.

.

Kerana semuanya berpunca dari hati maka besarlah tajuk perbincangan ini kerana ia membicarakan tentang suatu yang besar...hati. Seorang yang beriman yang dikatakan sedang berjalan menuju Allah dalam ertikata lain ialah seorang yang sedang menilai tingkah laku perangai dan tabiat hatinya dengan Allah.

.

Salah dalam menilai tingkah laku hati maka salahlah kesudahan hidup kita. Kerana inilah seorang yang sedang berjalan menuju Allah ianya sangat amat memerlukan:

[i] Seorang guru yang mursyid untuk memandunya

[ii] Seorang sahabat yang ikhlas selalu menasihatinya.

[iii] Hati yang peka dengan persekitaran untuk dijadikan renungan untuk bertindak positif.

[iv] Hati yang tenang menerima kritikan dan pandangan musuh terhadap dirinya.

.

Kecuaian menjaga hati memberi mudharat yang amat besar dalam kehidupan manusia walaupun bunyinya mudah dalam kata bicara. Ramai yang berkata, jika silap boleh bertaubat. Mudah bunyinya pada perkataan dilidah yang tak bertulang.

.

Lihatlah dalam kehidupan masyarakat kita. Banyak hal dan keadaan yang berlaku bila bertembung antara nilai agama dan nilai adat keputusannya nilai adat yang menguasai. Contoh yang mudah ialah adat-adat dalam urusan perkahwinan. Banyak amalan yang tidak berasal dari tuntutan agama menjadi amalan yang dipertahan sehingga menjadi masalah pula dikalangan masyarakat diantara golongan yang menentang dengan yang mengamalkannya.

.

Semuanya itu ada permulaannya. Begitu juga dalam hal seorang individu dalam membawa dirinya bersama masyarakat. Kadang-kadang ada induvidu yang syok sendiri merasakan dirinya 'cukup' dengan kewangan, pendidikan, saudara mara, anak isteri, pangkat dan pengaruh menjadi perosak kepada diri sendiri dan sanak saudara pula.

.

Apa tidaknya, kerana ia mula mentafsirkan dirinya mengikut acuan dan citarasa hatinya sendiri. Untuk menjadikan diri seorang yang tawaduk, merendah diri, duduk sama rendah berdiri sama tinggi sudah jauh sama sekali. Jika kebetulan memerlukan bertawaduk ditafsirkan 'jatuh standard'. Jika keadaan menuntut duduk sama rendah dirasakan suatu penghinaan kepada diri sendiri.

.

Terasa diri benar dan boleh berbuat sesuatu sepertimana orang lain boleh buat tetapi bila diserahkan amanah kepadanya tak ada suatu apa yang dapat dilihat. Orang semacam ini, untuk memimpin tak boleh dan untuk jadi pengikut jauh sama sekali. Ukurannya mentafsir dirinya bukan dengan keikhlasan terhadap prinsip taa'wuun ukuran kebendaan yang ada padanya menjadi nilai untuk mempengaruhi orang ramai dan membuat keputusan.

.

Tafsiran yang juga teruk terhadap diri sendiri ialah bilamana ada antara orang ramai yang tidak sukakannya lalu melari dan menjauh diri darinya ditafsirkan bahawa orang tersebut segan dan takut serta malu kepadanya sehingga sukar untuk bersembang sedangkan orang meluat tak mahu dekatinya. Benci dengan kesombongan dan keangkuhannnya.

.

Dia jadi syok sendiri, mentafsirkan dengan hati yang kotor tentang dirinya. Salah tafsir terhadap al-Qur'an dan al-Hadith memberikan kesan buruk diakhirat nanti. Ingat juga, sentiasa mentafsir diri dengan tafsiran yang salah juga akan membawa kesan buruk diakhirat nanti.

.

Walaupun dikatakan mudah saja kerana selalu bertaubat kepada Allah tetapi ingatlah kesan dari ketakaburan dan mentafsir diri dengan tafsiran yang salah akan mengotorkan hati yang amat sukar untuk dibuang perangai dan tabiat dalam kehidupan sesama kita. Paling bahaya perangai dan tabiat ini menular kepada anak dan keturunan.

.

Kesilapan dalm mentafsir diri ini umpama api dalam sekam . Amat bahaya !. Hendaklah kita berhati-hati mentafsir diri kita. Tafsiran terbaik terhadap diri kita ialah kesanggupan kita mentafsir mengikut hukum al-Qur'an dan al-Hadith dengan seadil-adilnya.


Justeru, muncullah apa yang dinamakan 'mujahadah' . Sukarnya untuk mujahadah jika hati bersalutan dengan kesombongan. Kembalilah kepada Allah SWT walaupun terasa 'jatuh' ketika kesombongan dan ketakaburan menguasai diri. InsyaAllah kita selamat.

.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan